Kontroversi
yang melibatkan bekas pemain sayap kebangsaan, Amirulhadi Zainal terungkai
apabila Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) memutuskan beliau sah menjadi milik
pasukan Johor Darul Takzim (JDT).
Pemain berusia
27 tahun itu sebelum ini dikatakan telah menandatangani kontrak dua tahun
bersama Persatuan Bola sepak Negeri Pahang tetapi baru-baru ini telah
mengejutkan ramai pihak apabila diperkenalkan sebagai pemain baharuJDT untuk
musim depan.
Jawatankuasa
Status FAM yang bermesyuarat pada Jumaat telah mendapati kontrak Amirulhadi
bersama Pahang didapati meragukan.
"Kontrak
pemain Amirulhadi Zainal dengan Persatuan Bola sepak Negeri Pahang pada
pandangan kami meragukan dan oleh itu kami menganggap kontrak itu tidak sah,"
kata pengerusi jawatankuasa berkenaan, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu sidang
akhbar di Wisma FAM di sini, Jumaat.
"Kontrak itu
menjadi sah kalau sekiranya kontrak itu ditandatangani oleh semua pihak yang
berkenaan. Yang kedua, perlu dinyatakan dengan jelas apakah perkara-perkara,
terma-terma, syarat-syarat perlu dinyatakan.
"Dengan kata
lain, kalau menandatangani kontrak kosong, itu tak sahlah. Kami mendapati ada
keraguan dalam kontrak ini," kata Takiyuddin.
Beliau
bagaimanapun enggan menjelas lanjut berhubung kontrak Amirulhadi dengan
Persatuan Bola sepak Negeri Pahang.
Menurut
Takiyuddin, dalam kes melibatkan Amirulhadi itu, Persatuan Bola sepak Negeri
Pahang tidak berhak untuk menuntut sebarang pampasan daripada JDT mahupun
daripada pemain berkenaan.
Namun,
Amirulhadi sendiri tidak terlepas begitu sahaja sebaliknya beliau dikenakan
denda berjumlah RM25,000 berikutan kegagalan pemain itu mendedahkan keadaan
sebenar kepada JDT sebelum menandatangani kontrak.
Takiyuddin
berkata, ketiga-tiga pihak dibenarkan mengemukakan rayuan kepada FAM sebelum
Rabu ini. - Sumber BERNAMA