Sabtu, 28 Disember 2013

[ Sukan ] Amirulhadi di denda RM25,000 Tetapi Sah Milik JDT !


Kontroversi yang melibatkan bekas pemain sayap kebangsaan, Amirulhadi Zainal terungkai apabila Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) memutuskan beliau sah menjadi milik pasukan Johor Darul Takzim (JDT).

Pemain berusia 27 tahun itu sebelum ini dikatakan telah menandatangani kontrak dua tahun bersama Persatuan Bola sepak Negeri Pahang tetapi baru-baru ini telah mengejutkan ramai pihak apabila diperkenalkan sebagai pemain baharuJDT untuk musim depan.

Jawatankuasa Status FAM yang bermesyuarat pada Jumaat telah mendapati kontrak Amirulhadi bersama Pahang didapati meragukan.

"Kontrak pemain Amirulhadi Zainal dengan Persatuan Bola sepak Negeri Pahang pada pandangan kami meragukan dan oleh itu kami menganggap kontrak itu tidak sah," kata pengerusi jawatankuasa berkenaan, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu sidang akhbar di Wisma FAM di sini, Jumaat.

"Kontrak itu menjadi sah kalau sekiranya kontrak itu ditandatangani oleh semua pihak yang berkenaan. Yang kedua, perlu dinyatakan dengan jelas apakah perkara-perkara, terma-terma, syarat-syarat perlu dinyatakan.

"Dengan kata lain, kalau menandatangani kontrak kosong, itu tak sahlah. Kami mendapati ada keraguan dalam kontrak ini," kata Takiyuddin.

Beliau bagaimanapun enggan menjelas lanjut berhubung kontrak Amirulhadi dengan Persatuan Bola sepak Negeri Pahang.

Menurut Takiyuddin, dalam kes melibatkan Amirulhadi itu, Persatuan Bola sepak Negeri Pahang tidak berhak untuk menuntut sebarang pampasan daripada JDT mahupun daripada pemain berkenaan.

Namun, Amirulhadi sendiri tidak terlepas begitu sahaja sebaliknya beliau dikenakan denda berjumlah RM25,000 berikutan kegagalan pemain itu mendedahkan keadaan sebenar kepada JDT sebelum menandatangani kontrak.

Takiyuddin berkata, ketiga-tiga pihak dibenarkan mengemukakan rayuan kepada FAM sebelum Rabu ini. - Sumber BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.